Advertisement

Responsive Advertisement

Menarik di KOTA MARUDU







KOTA MARUDU: 5 TEMPAT MENARIK UNTUK DIKUNJUNGI
"Kau orang Kota Marudu kan? Apa tempat best di sana?", soalan ini selalu diajukan kepada saya di mana-mana. Tidak kira saya di Sabah ataupun di bumi Semenanjung ini, soalan ini seolah-olah wajib ditanya kepada saya. Sesiapa orang KM tu, jika soalan ini diajukan, jangan sesekali menjawab "tidak tahu" atau "KM tiada apa-apa yang best". Sebaliknya, promosikanlah daerah kesayangan kita ni. Ada banyak sebenarnya tempat menarik di KM ni, tapi saya cuma akan senaraikan 5 sahaja dulu.
1. Panorama Paradise Resort
Resort ini terletak di Bukit Pinotudung sejauh 24KM daripada Pekan Kota Marudu. Tempat yang tinggi, sejuk, dan berangin ini pastinya membuatkan anda merasa nyaman dengan alam semula jadi. Anda juga boleh melihat banjaran Crocker dan Gunung Kinabalu daripada resort ini. Khabarnya, anda turut boleh merasai suasana romantik dengan melihat matahari terbenam.
2. Air Terjun Hatob
Jika anda kaki berkelah dan juga gemar bermandi-manda, mungkin tempat ini paling sesuai untuk anda. Air terjun Hatob ini berhampiran dengan Kampung Lotong, Kota Marudu. Airnya memang dingin dan menyegarkan.
3. Gumagayo River Park
Terletak di Kampung Tangkol kira-kira 20KM jaraknya daripada pekan Kota Marudu. Anda boleh melakukan banyak aktiviti di Gumagayo River Park ini seperti mandi-manda, berkelah, bergayut, BBQ dan bahkan berkhemah. Bukan itu sahaja, khabarnya ikan di sini sangat jinak, bolehlah anda melihat ikan menari-nari dalam air kan?
4. Teringai Beach Cafe & Lodge
Daripada sungai, kita beralih pula kepada pantai di Kota Marudu. Antara yang paling popular adalah pantai Teringai. Jika anda datang ke sini pada waktu senja, anda boleh melihat keindahan pantai yang mendamaikan jiwa. Pergg macam lagu kan? Tapi ini yang anda boleh nikmati di sini. Teringai Beach Cafe & Lodge menyediakan pelbagai perkhidmatan seperti inap desa rumah panjang kaum Rungus, makanan & minuman yang halal, serta anda boleh menempah rumah panjang ini untuk hari keluarga dan perkahwinan. Jarak tempat ini daripada pekan Kota Marudu adalah sejauh 37KM dan memakan masa 1 jam perjalanan.
5. Tasik Buyut
"Eh, Kota Marudu ada tasikkah?", ada bah bosku. Apa saja yang tiada di Kota Marudu ni? Kami ada banyak bukit untuk aktiviti Hiking, Gunung Nomboyukon, air terjun, pantai, teluk, paya bakau, sungai, dan bahkan ada tasik juga bosku. Cuma shopping mall sahaja yang kami tidak ada. Jika anda seorang yang adventurer dan sukakan pengalaman baru. Mungkin tempat ini sesuai untuk anda. Tasik Buyut ini terletak di Kampung Mangkalua iaitu kira-kira 12KM daripada Pekan Kota Marudu. Kepada Kelab Pencinta Alam atau Persatuan Geografi sekolah atau mana-mana universiti datanglah ke sini untuk melawat. Mungkin tidak sehebat Tasik Chini, tetapi daerah sekerdil kami mempunyai tasik, ia tetap menjadi kebanggaan kami.
Itulah dia 5 tempat menarik untuk anda kunjungi di Kota Marudu. Siapa cakap Kota Marudu tiada apa-apa? Kota Marudu adalah daerah yang penuh dengan tempat-tempat yang menarik, cuma kurang dipromosikan. Kita anak-anak Kota Marudu perlu menjadi ejen promosi daerah kita sendiri, supaya suatu ketika pemerintah akan nampak potensi kita sebagai daerah pelancongan.
Kredit: JENIH ZAPIT







Catat Ulasan

0 Ulasan