Advertisement

Responsive Advertisement

DR Maszlee Malik hari ini, secara rasmi mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pendidikan

DR Maszlee Malik hari ini, secara rasmi mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pendidikan, berkuat kuasa esok.
Beliau membuat pengumuman berkenaan pada sidang media di luar lobi bangunan Kementerian Pendidikan di Kompleks E, Putrajaya.
"Selepas pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sebentar tadi dan atas nasihat beliau, ketaatan dan disiplin kepada kepimpinan parti dan kerajaan, saya dengan hati yang reda walaupun berat dengan ini memulangkan semula jawatan sebagai Menteri Pendidikan kepada Perdana Menteri berkuatkuasa 3 Januari 2020.
"Saya ingin merakamkan penghargaan terima kasih Perdana Menteri kerana memberi peluang selama 20 bulan untuk saya mengemudi Kementerian Pendidikan," katanya, hari ini.
Pada masa sama, Maszlee mengakui bukan mudah untuk beliau yang tidak mempunyai latar belakang politik untuk menerajui Kementerian Pendidikan.
"Bukan mudah untuk seorang yang tidak mmmpunyai latar belakang politik, seorang daripada aliran akademia dan aliran pendidikan diberikan peranan untuk mengemudi satu kementerian yang besar ini.
"Yang mana jika kita lihat lebih dihujani isu politik berbanding isu pendidikan. Pada saya amanah diberikan oleh Perdana Menteri adalah satu hadiah terbaik kepada saya sebagai pendidik dan aktivis akademia.
"Saya juga ingin menyatakan pendirian, sokongan dan ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada Perdana Menteri dan parti saya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)," katanya.
Terdahulu, sewaktu memulakan sidang media berkenaan, beliau memaklumkan mengenai pencapaian dicapai oleh Kementerian Pendidikan sepanjang menerajui kementerian itu.
MASZLEE Malik ketika sidang media di Putrajaya.
Mengulas lanjut, Maszlee berkata, beliau dilihat bukan melalui pencapaian berkenaan dan kementerian itu menjadi perhatian media dan kumpulan tertentu serta ahli politik.
"Apa yang berlaku dalam tempoh 20 bulan ni tidak dapat dicapai dalam tahun-tahun sebelum ini. Dalam 20 bulan diberikan ini begitu signifikan, begitu indah untuk dikongsi tetapi malangnya ia tidak dapat tajuk utama.
"Banyak tajuk sensasi lebih mewarnai, banyak isu sensitif dan sengaja diperbesarkan lebih menjadi pilihan utama. Saya sebagai menteri menerajui Kementerian Pendidikan lebih dilihat menimbulkan banyak krisis seperti isu Jawi, internet sekolah, isu sarapan percuma dan beberapa isu sampingan lain," katanya.
Sementara itu, Maszlee berkata, beliau meletakkan asas dan hala tuju yang jelas untuk dituruti warga Kementerian Pendidikan dan ia terhimpun dan tersemat kemas dalam tiga kalimah keramat, 'Pendidikan Untuk Semua'.
"Saya percaya keputusan ini bukanlah pengakhiran, sebaliknya sebuah permulaan baharu. Perjuangan tidak pernah selesai.
"Perjuangan memartabat pendidikan berlaku dalam semua ruang, bukan hanya tanggungjawab kementerian, menteri sahaja tetapi setiap komuniti di mana pun kita berada," katanya.
Ditanya mengenai pengganti beliau, Maszlee berkata, beliau berharap ia memberi sinar baharu kepada Malaysia dan tahun 2020 amatlah bermakna untuk negara.
Berhubung punca peletakan jawatannya, Mazslee menegaskan dirinya percaya dengan pandangan jauh dan ketajaman minda untuk memimpin negara ini.
"Saya dengan taat setia kepada Perdana Menteri dan parti yakin, apa jua keputusan yang dibuat dan dinasihatkan adalah untuk negara dan kebaikan semua," katanya.
Maszlee yang juga bekas pensyarah dilantik Perdana Menteri untuk memegang portfolio Kementerian Pendidikan pada 21 Mei 2018.
Beliau juga adalah Ahli Parlimen Simpang Renggam dan ahli BERSATU.




CC: Harian Metro 

Catat Ulasan

0 Ulasan